KLANG – Sebuah kilang memproses perabut musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku lewat petang di sini semalam.
Kejadian berlaku di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis malam tadi.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran kilang itu jam lebih kurang 6.34 petang.
“Bertindak atas panggilan kebakaran itu, pasukan bomba dari lima balai dikerah ke tempat kebakran bagi operasi memadam kebakaran kilang tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Andalas, Kota Anggerik, Pulau Indah, Sungai Pinang dan Kota Raja dengan kekuatan tujuh jentera pemadam kebakaran dan 27 anggota tiba di lokasi kebakaran jam 6.51 petang.
“Siasatan di lokasi mendapati berlaku kebakaran besar membabitkan kilang memproses perabot kelas A di kawasan perindustrian itu selepas 60 pekerja pulang bekerja di premis tersebut jam 6.40 petang semalam,” katanya lagi.
Tambah Norazam, kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal pukul 7.44 malam dan siasatan mendapati berlaku kemusnahan harta benda kira-kira 70 peratus akibat kebakaran tersebut.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu berikutan semua pekerja keluar dari kilang itu pukul 5 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan setakat pukul 8.38 malam tadi dan operasi pemadaman keseluruhan telah diteruskan sehingga api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette