Poster Altimet yang mahu bertanding Ketua Cabang Ampang tular di laman sosial hari ini.

KUALA LUMPUR – Keputusan pemilihan PKR bagi jawatan Ketua Cabang Ampang berubah apabila selebriti, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dilihat sebagai pemenang apabila memperolehi 743 undi bagi membolehkannya mengatasi pelakon, Datuk Hans Isaac yang mendapat 734 undi.

Pada pemilihan semula 29 Jun lalu pelakon, Hans Isaac atau nama sebenar Gerald Hans Isaac memperolehi 748 undi bagi mengatasi Altimet dengan perbezaan dua undi.

Keputusan terbaru di laman sesawang PKR menunjukkan Altimet mengatasi undian Hans.

Sebelum ini, keputusan berpihak kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang mendapat 942 undi menewaskan Hans Isaac (609 undi) dan Altimet (589 undi).

Bagaimanapun akibat aduan salah laku dan bantahan, Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) melancarkan siasatan dan mendapati Daing Muhammad Reduan terlibat dengan pembelian undi.

Daing Muhammad Reduan kemudian hilang kelayakan sebelum pemilihan semula diadakan.

Pada Jun lalu, JPP PKR mengumumkan pelaksanaan audit forensik bagi undian dalam talian.

Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa mengaku berdasarkan aduan diterima, ada yang memohon supaya audit forensik dilaksanakan dan pihaknya memfokus kepada siasatan awal berhubung undi ragu dan aduan dibangkitkan di Cabang selain melihat kepada kemenangan membabitkan majoriti tipis. – MalaysiaGazette