Mohd Yusof bersama sebahagian daripada peniaga di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini merayu agar kerajaan menggantikan cadangan pembinaan 16 kabin kafe bernilai RM1.6 juta di pusat pelancongan itu dengan sebuah terminal penjaja yang bersifat kekal untuk kemudahan lebih ramai peniaga.

MELAKA – Kira-kira 200 peniaga di hadapan Dataran 1Malaysia, Klebang di sini merayu agar kerajaan mengkaji semula pembinaan 16 kafe kabin yang didakwa tidak adil.

Rata-rata mereja mendakwa ia hanya menguntungkan nasib segelintir peniaga di kawasan tumpuan pelancong itu.

Sebaliknya, peniaga meminta agar kerajaan menggantikan projek bernilai RM1.6 juta itu dengan pembinaan sebuah terminal penjaja bersifat kekal yang lebih besar, sistematik dan tersusun.

Ia sekaligus memberi manfaat kepada lebih ramai peniaga yang kebanyakannya kini beroperasi di bawah khemah usang sejak hampir 10 tahun lalu.

Noorasyimah Nordin

Peniaga kuih keria, Noorasyimah Nordin, 34,  berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana meluluskan pembinaan projek kafe kabin itu yang difahamkan akan bermula pada 31 Julai dan siap Disember ini.

“Cuma bagi kami jumlah 16 itu tak cukup sebab peniaga di sini lebih daripada itu dan jika ia dilaksanakan dataran ini akan terus ‘dicemari’ khemah perniagaan usang yang tidak seragam dan berterabur.

“Perniagaan di pantai peranginan pelancong ini sudah lebih 10 tahun tapi kalau tengok tempat ini macam pekan koboi, jadi lebih baik bina kawasan lebih besar lengkap dengan kemudahan supaya ianya manfaat lebih besar kepada ramai peniaga,” katanya di sini semalam.

Siti Nordi Lambak

Pandangan sama disuarakan peniaga mainan, Siti Nordi Lambak, 63, yang sedih kerana suara peniaga warga emas sepertinya dipandang sepi.

Dia mendakwa hanya mampu menumpang berniaga di tepi jalan di bawah cuaca hujan dan panas.

“Mak cik dah bertahun-tahun berniaga di Pantai Klebang ini tunggu tapak tak dapat-dapat walaupun memang tak tahan kena hujan dan panas.

“Sepatutnya bagi keadilan kepada semua peniaga di sini dengan pembinaan ruang niaga lebih besar biar semua peniaga dapat mencari rezeki dan bukannya hanya 16 orang sahaja,” katanya.

Mohd Yusof menunjukkan pelan cadangan pembinaan 16 kabin kafe bernilai RM1.6 juta di Dataran 1Malaysia, Klebang,Melaka semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, pihaknya tidak membantah projek berkenaan namun meminta ia dikaji semula.

Ia sepatutnya digantikan dengan sebuah terminal penjaja yang lebih besar untuk keadilan ratusan peniaga di situ.

“Kita minta kerajaan negeri, MBMB khususnya kalau boleh dikaji semula sebelum 16 kabin kafe dengan belanja RM1.6 juta ini di bina untuk hanya 16 penjaja bas cafe dahulu yang telah gagal dan dilupuskan.

“Dataran 1Malaysia ini ada ratusan penjaja kalau boleh kita minta bukan kabin kafe tapi terminal penjaja yang boleh melibatkan semua penjaja dalam satu ruang berskala terminal,” katanya.

Ketegasan sama disuarakan Pengerusi JPKK Klebang Kecil, Zainol Mahmud yang menyuarakan kekecewaan mewakili 14 Pengerusi JPKK dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang terhadap projek terbabit.

Zainol Mahmud

“Bukan saya seorang sahaja yang kecewa malah semua 14 Pengerusi JPKK DUN Klebang kesal kerana projek ini yang langsung tidak dibincangkan bersama kami sebelum ianya hendak dilaksanakan

“Tiba-tiba sahaja kami dapat tahu projek ini akan mula di bina pada 31 Julai ini menyebabkan kami hanya mampu termenung memikirkan orang kampung tidak dapat manfaat untuk berniaga,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast