Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bercakap kepada media semasa menyertai Himpunan Aman Kenaikan Harga Barang di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan terhadap 10 individu termasuk Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran yang dikenalpasti bertanggungjawab menyertai Himpunan Aman Bantah Kenaikan Harga Barang di hadapan sebuah pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, penganjuran perhimpunan itu tidak menyerahkan sebarang notis pemberitahuan kepada polis.

“Polis mendapati seorang pemimpin politik iaitu Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran hadir dan mengadakan sidang media dalam himpunan itu.

“Kesemua mereka (termasuk Prabakaran) yang dikenalpasti sudah dimaklumkan mengenai siasatan yang dilaksanakan oleh polis dan akan dirakam keterangan mulai minggu depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Pecat menteri gagal tangani isu barang naik – Prabakaran

Polis kenal pasti peserta, penganjur Himpunan Kenaikan Harga Barang

Katanya, mereka akan dipanggil secara berperingkat bermula hari Rabu ini.

Siasatan berhubung himpunan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Sabtu lalu, 10 individu didapati sertai himpunan anjuran Angkatan Muda Keadilan itu.

Mereka berhimpun kira-kira 20 minit bermula 3.30 petang dengan mendukung plakad putih yang tertera beberapa perkataan membantah kenaikan harga makanan. – MalaysiaGazette