KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati mereka yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat mengenai penipuan pakej haji supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Mereka yang menipu atau digelar sebagai ‘scam haji’ perlu dibawa ke muka pengadilan agar tiada lagi yang akan terpedaya dengan penipuan atas nama agama seumpama itu,” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Baginda bertitah demikian selepas menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Jabal A’la, Kampung Melayu, Kaki Bukit semalam.
“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang mempromosikan pakej haji furada yang belum tentu ada jaminan untuk sampai ke Tanah Suci.
“Tawaran menarik dengan peluang cepat tanpa menunggu giliran sering kali menjadi faktor utama bakal haji mudah percaya dan akhirnya tertipu,” titah baginda.