Keadaan sebuah kereta Volkswagen yang remuk teruk akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Pulau Pinang semalam.

SEBERANG PERAI – Polis sedang mengesan pemandu sebuah pacuan empat roda yang memandu secara melawan arus hingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 4.5 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, semalam.

Kejadian jam 12 tengah malam itu mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta jenis Volkswagen mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya terima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan berlaku kemalangan di lokasi terbabit pada jam 12.10 tengah malam.

Mohd Radzi.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna putih didapati melawan arus dari arah Bagan Ajam sebelum bertembung dengan kereta Volkswagen tersebut.

“Akibat pertembungan itu, pemandu lelaki berusia 27 tahun dan teman wanitanya, 25, masing-masing mengalami kecederaan di bahagian perut.

“Kedua-dua mereka menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Radzi, pemandu pacuan empat roda itu belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian.

Kecederaan yang dialami mangsa akibat pertembungan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.

Terdahulu tular beberapa keping gambar di Facebook menunjukkan sebuah kereta Volkswagen remuk teruk di bahagian hadapan akibat dirempuh sebuah kenderaan yang melawan arus.

Turut dikongsikan kecederaan pada bahagian perut yang dialami mangsa akibat kejadian tersebut. – MalaysiaGazette