Seorang penguat kuasa KPDNHEP sedang memeriksa premis di premis di Taman Bayu Tinggi, Klang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah premis di Taman Bayu Tinggi, Klang, Selangor pada Rabu lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, ketika serbuan dilakukan tiada pekerja ditemui di premis terbabit.

Katanya, penguat kuasa berjaya menyita minyak diesel dan peralatan-peralatan berkaitan bernilai RM170,346.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDNHEP Putrajaya adalah hasil risikan yang telah dilakukan sejak beberapa hari yang lalu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah diesel, lori, beberapa tangki kosong dan berisi minyak diesel, mesin compressor dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Jelas Azman, kertas siasatan telah dibuka berikutan serbuan berkenaan.

Dalam masa yang sama katanya , kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah daripada mana minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Tambah beliau, pemilik premis tersebut berhadapan dengan denda tidak lebih RM1 juta manakala denda tidak melebihi RM 3 juta bagi kesalahan seterusnya.

Manakala bagi syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta dan RM 5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“KPDNHEP ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, premis berkenaan turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.- MalaysiaGazette