KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia (Putra) menyelar pemimpin DAP, P. Ramasamy memperlekeh dan merendahkan martabat pahlawan Melayu, Mat Kilau yang dianggapnya sebagai seorang pemimpin petani.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif memberi amaran kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu agar tidak sekali-kali memainkan api perkauman dengan mempolitikan filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan.
Beliau berkata, sudah menjadi satu fenomena baharu di Malaysia apabila tayangan filem Mat Kilau menjadi tarikan oleh kaum majoriti Melayu dan Islam, maka terdapat suara tidak berpuas hati dari bangsa minoriti.
“Bangsa ini cuba mengambil kesempatan mempolitikkan filem yang mendapat sambutan jutaan orang Melayu untuk mendapatkan perhatian dengan mula memainkan api perkauman.
“Ramasamy tidak layak mengolah filem itu berdasarkan sudut pandangnya yang jelas cuba menafikan wira Melayu iaitu Mat Kilau yang memperjuangkan semangat nasionalis Melayu terhadap Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu.
“Agenda mereka dari dahulu sentiasa cuba memanipulasi sejarah dan menolak ketuanan Melayu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Media hari ini melaporkan, pemimpin DAP itu meragui sama ada Mat Kilau boleh dianggap sebagai seorang nasionalis yang memperjuangkan bangsa atau agamanya.
Ini kerana, katanya, Mat Kilau hanya pemimpin petani dan beliau bersama pengikutnya berkonfrontasi dengan British dalam usaha mengembalikan dasar ekonomi yang bermoral.
Ramasamy berkata, Mat Kilau telah mengetuai anak buahnya untuk berhadapan dengan British bagi memberhentikan pelaksanaan cukai, pengurangan gaji ketua kampung dan lain-lain.
Menurut Nasrul Ali Hasan, Mat Kilau adalah salah satu simbolik yang mampu membangkitkan semula semangat nasionalisme orang Melayu dan Ramasamy mengetahuinya.
“Sebab itu dia cuba mengalihkan pandangan dengan mengatakan Mat Kilau itu pemimpin petani.
“Ramasamy mungkin buta sejarah atau tidak pernah membuka buku Sulalatus Salatin tulisan Tun Seri Lanang iaitu penulisan sejak tahun 1123 hijrah, apatah lagi menghayati sejarah kepimpinan Melayu di tanah tempat dia mencari nafkah hari ini.
“Orang Melayu bukan bangsa yang menjadi hamba dan sejarah yang ditulis melalui hikayat itu cukup menggambarkan alam Melayu sejak awal lagi sudah mempunyai penduduk berorganisasi, maju dalam pelbagai bidang seperti pelayaran, pertanian, perniagaan dan lain-lain lagi,” katanya.
Ditambah pula, kata beliau, dengan penerapan syariah Islam dalam kaedah politik dan pentadbirannya membuatkan semua pedagang asing bertumpu untuk berurus niaga di Tanah Melayu dengan mengikut undang-undang digunakan kerajaan Melayu Islam.
“Filem ini secara terang-terangan telah menerapkan segala nilai dan gambaran sebenar kepimpinan Tanah Melayu dari akar umbi hingga ke pembesar dengan akhlak mulia, ilmu agama yang tinggi dan juga sifat strategis.
“Persoalannya di mana yang dikatakan oleh Ramasamy yang menggambarkan Mat Kilau nasionalis berfikiran sempit?
“Adakah kerana kemahiran orang Melayu itu dengan memanfaatkan sumber alamnya itu membuatkan beliau katakan Mat Kilau pemimpin petani?,” soalnya.
Beliau menyifatkan, Ramasamy sengaja membuat kenyataan untuk mengalih perhatian dari tajuk sebenar bagi menyebarkan api perkauman mengenai pertikaian watak askar berketurunan Sikh yang dibawa British dari India.
Katanya, Mat Kilau adalah wira rakyat dari golongan kebanyakan yang mahu mempertahankan bukan sahaja hasil dicukai atau diambil sesuka hati ketika penjajahan British, tetapi demi menjaga kepentingan sistem politik dan pentadbiran orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.
Ujarnya, wira Melayu itu tidak mahu bangsa, tanah air dan rajanya dicalar dengan sistem kolonial yang langsung tidak sama dengan fahaman reformasi atau revolusi dibawa British seperti disebut Ramasamy.
“Wira Putra berpesan kepada Ramasamy janganlah gentar dengan sejarah dan main sentimen perkauman, tetapi berbanggalah kerana anda dapat duduk makan semeja, bekerja bersama dan mencari rezeki dengan aman di Persekutuan Tanah Melayu ini.
“Filem ini mungkin sekadar sebahagian perkara yang boleh membakar jiwa rakyat supaya tidak hilang jati diri bernegara dan nilai patriotisme di kala Malaysia mula goyah kerana perebutan kuasa, rasuah, salah guna kuasa dan kejatuhan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette
















