LOS ANGELES – Varian terbaharubagi subvarian Omicron yang dikenali sebagai BA.5 dan BA.4 telah menyumbang lebih 70 peratus jangkitan baharu Covid-19 di Amerika Syarikat, sekali gus membawa kepada lonjakan kes dan kemasukan ke hospital di seluruh negara.

BA.5 menjadi varian dominan di Amerika Syarikat, membentuk kira-kira 54 peratus daripada kes baharu pada minggu yang berakhir pada 2 Julai, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Manakala subvarian BA.4 membentuk kira-kira 17 peratus lagi.

Kedua-dua subvarian itu lebih menular daripada varian Omicron yang terdahulu dan dapat menghindar perlindungan daripada vaksin dan jangkitan sebelumnya dengan lebih mudah berbanding kebanyakan pendahulunya, menurut pakar kesihatan.

“Varian baharu ini sememangnya boleh menimbulkan ancaman kepada perlindungan sedia ada daripada jangkitan atau vaksin terdahulu. Terdapat banyak ketidakpastian,” Jeffrey Sachs, Profesor dan Pengarah Pusat Pembangunan Lestari di Universiti Columbia.

David Montefiori, seorang profesor di Institut Vaksin Manusia di Pusat Perubatan Universiti Duke, menganggarkan BA.4 dan BA.5 adalah kira-kira tiga kali kurang sensitif untuk meneutralkan antibodi daripada vaksin Covid-19 sedia ada berbanding versi asal varian Omicron, BA.1 .

Penyelidikan lain mencadangkan BA.4 dan BA.5 empat kali lebih tahan terhadap antibodi daripada vaksin berbanding BA.2, yang menggantikan varian Omicron sebagai versi dominan koronavirus di Amerika Syarikat pada bulan April.

Bob Wachter, pengerusi Jabatan Perubatan di Universiti California, San Francisco pula berkata BA.5 boleh menjangkiti semula individu yang pernah dijangkiti Covid-19 dan sudah terima vaksinasi.

“Kes sudah meningkat semula di Amerika Syarikat dan boleh meningkat dengan ketara pada musim panas ini atau pada musim gugur kerana pejabat, sekolah dan kemudahan lain sudah dibuka,” kata Sachs.

Amerika Syarikat kini mempunyai purata kira-kira 106,000 kes baharu Covid-19 dengan 300 kematian baharu setiap hari, menurut data CDC. – Xinhua