Kenny Hunter berdiri dengan seni arcanya yang diberi nama “Your next breath

KUALA LUMPUR – Pengukir terkenal dan Profesor Seni Ukir di Kolej Seni Edinburgh, Kenny Hunter menghasilkan arca seni bagi mengenang jerih-perih dan kesukaran kakitangan dan pekerja perubatan di seluruh dunua ketika pandemik Covid-19.

Arca ini diberi bakal dinamakan Your next breath – untuk menonjolkan impak virus pada sistem pernafasan individu dan kesannya pada semua individu.

Karya seni itu dipercayai yang pertama di Scotland, didedikasikan kepada petugas barisan hadapan perubatan yang bekerja sepanjang wabak Covid-19.

Arca ini menonjolkan empat figura bersaiz sebenar dalam ‘scrub’ yang mengalami detik refleksi pada akhir syif di wad hospital Covid-19.

Arca seni itu memberi penghargaan kepada rasa belas kasihan dan daya tahan pekerja-pekerja perubatan di seluruh dunia yang berhadapan dengan bahaya dan risiko yang lebih tinggi berbanding orang awam, walaupun dengan perlindungan yang sewajarnya.

Hunter mengkonsepkan reka bentuk karyanya selepas meluangkan masa bersama empat pekerja perubatan yang ditempatkan di wad Covid-19.

Hasil dari perbualannya dengan pekerja perubatan tersebut, beliau mengilhamkan seni arca yang mengabadikan pelbagai emosi yang dialami mereka sepanjang bertugas pada masa yang mencabar itu.

Hasil seni yang luar biasa oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh ini merupakan penghargaan yang sesuai bagi barisan hadapan perubatan di seluruh dunia termasuk Malaysia atas dedikasi dan komitmen yang diberikan kepada masyarakat.

Kakitangan perubatan Malaysia juga terdedah kepada risiko yang sama.

Setakat 5 Julai lalu, sebanyak 117,751 kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – mewakili 2.56 peratus dari jumlah kes positif di negara ini sejak bermulanya wabak ini.

Antara petugas perubatan yang telah dijangkiti, 32 daripada mereka telah meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, yang dianugerahkan Ad Hominem Fellowship berprestij RCSEd pada 2018 berkata: “Kami telah menyaksikan pengorbanan dan jasa para petugas perubatan sepanjang wabak ini.

Warga kerja perubatan telah mencurahkan bakti yang tidak terhingga dari segi masa dan kudrat mereka untuk menjamin kesihatan dan nyawa pesakit dalam situatasi belum pernah berlaku sebelum ini sambil meletakkan diri mereka dan keluarga mereka dalam keadaan bahaya.

Putera Charles, Putera Wales yang menjadi penaung Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) baru-baru ini telah melihat arca ini.

Karya hebat tersebut akan disempurnakan dengan salutan gangsa pada akhir tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast