Jurucakap MCA Pulau Pinang, Tang Heap Seng (kiri) pada sidang media di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa menggantikan Transit Aliran Ringan (LRT) kepada sistem Transit Aliran Bas (BRT).

Ia susulan pembinaan LRT tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di negeri ini secara menyeluruh, kata jurucakap MCA Pulau Pinang, Tang Heap Seng.

Menurut beliau, pembinaan sistem BRT itu juga boleh dilaksanakan sendiri oleh kerajaan tempatan tanpa bergantung dana daripada Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, BRT bukan sahaja mampu disiapkan dalam tempoh singkat malah ia akan mempunyai liputan lebih luas berbanding LRT.

Heap Seng (kiri).

“Kerajaan melabur kira-kira RM4.4 bilion untuk membina 426 kilometer lorong bas BRT namun kos yang sama akan digunakan untuk membina laluan LRT sejauh 40 kilometer atau 14 kilometer MRT dan ini sekali gus menunjukkan BRT lebih menjimatkan.

“Malah, semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, Anthony Loke yang ketika itu Menteri Pengangkutan menegaskan LRT bukanlah pilihan terbaik untuk Pulau Pinang malah Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan juga tidak memperuntukkan dana untuk membina LRT terbabit.

“Justeru, kita gesa kerajaan negeri untuk meneliti semula perancangan pembinaan LRT dan mereka boleh lihat contoh di China yang mana banyak bandar menggunakan sistem BRT untuk  purata 4.3 juta penumpang sehari sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan bandar,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Heap Seng berkata, cadangan Pan Island Link 1 (PIL 1) juga tidak perlu sekiranya BRT dilaksanakan kerana projek itu akan melibatkan peletupan lereng bukit dan merosakkan alam sekitar.

 “PIL 1 bercanggah dengan laporan Perancangan Trafik dan Infrastruktur Halcrow 2011 yang ia tidak dapat mengurangkan lalu lintas di bahagian Pulau.

“Perkara yang serius dalam pembinaan LRT adalah ia akan membebankan penghutangan kepada generasi warga Pulau Pinang pada masa hadapan,” jelasnya. – MalaysiaGazette