ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan maut selepas lapan jam bertarung nyawa akibat kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Padang Keladi, di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa, dikenali Salim Aman, 50, meninggal dunia di Hospital Melaka Hospital pada jam 1.25 pagi tadi.
Menurut beliau, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC sebelum itu terlibat dalam nahas jalan raya kira-kira jam 5.15 petang semalam.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila pengawal keselamatan itu yang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Honda Civic menyebabkannya melambung ke tengah jalan raya.
“Akibatnya, mangsa cedera parah di kepala dan dirawat di Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.25 pagi tadi selepas hampir lapan jam bertarung nyawa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette