Pengarah filem, Syamsul Yusof hadir bersama Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi ketika membuat laporan polis berhubung isu persenda Islam di sebuah kelab komedi di Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertanggungjawab dalam isu penghinaan agama dan bangsa sehingga menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya berlaku di negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Isu ini harus diteliti, bagi saya ianya berbalik kepada pemimpin yang harus memandang serius soal perkara ini. Agama rasmi (Persekutuan) di negara kita adalah Islam, jadi kenapa ada yang kurang senang tentang agama ini,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika turut serta bersama Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Jelas pengarah filem Mat Kilau itu, kehadirannya hari ini merupakan solidariti dalam memperjuang agama dan bangsa di negara ini agar tidak dipijak oleh mana-mana pihak.

“Saya marah bila Islam dipermain. Saya hadir atas dasar seorang Islam. Terus terang saya katakan isu ini semakin serius. Apa yang diperjuangkan hari ini bukan melibatkan parti politik, tapi adalah demi agama,” katanya.

Malah, pengarah Mat Kilau yang berjaya meraih kutipan hampir RM80 juta dalam tempoh kurang sebulan itu berkata, filem arahannya itu tidak pernah menghina bangsa lain walaupun tujuan utamanya bagi menunjukkan kedaulatan orang Melayu.

“Saya terbitkan filem Mat Kilau sendiri adalah untuk menunjukkan nasionalisme dan semangat jati diri Melayu. Tapi dalam masa sama saya tidak menghentam mana-mana bangsa,” ujarnya.

Shahrol Shiro antara yang hadir menunjukkan laporan polis berhubung isu penghinaan Islam di sebuah kelab komedi di Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 JULAI 2022.

Sementara itu, pelawak Shahrol Shiro juga berharap agar pihak berkuasa mendakwa pemilik kelab komedi itu kerana turut terlibat dalam penghinaan agama.

“Sebagai pemilik premis itu, dia ada hak untuk menghentikan persembahan wanita yang hina agama itu serta-merta. Tapi sebaliknya berlaku, kita lihat lebih banyak video mengenai Rizal (pemilik kelab) yang menghina dan menyindir Islam,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton dengan mendakwa dirinya penganut agama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2022/07/13/dakwa-pemilik-kelab-komedi-hina-islam/