KUALA LUMPUR – Seorang tukang gunting rambut yang sebelum ini ditahan dan disiasat polis atas kesalahan menculik bekas kekasih dan anak lelakinya atas alasan menyayangi wanita itu pada minggu lalu akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.
Lelaki berusia 26 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertuduhan dibuat selepas pihak polis mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh individu berkenaan di mahkamah pada hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tukang gunting larikan bekas kekasih ditahan polis
Tukang gunting rambut culik bekas kekasih direman
Tukang gunting rambut culik bekas kekasih disambung reman
Katanya, pihaknya sebelum ini mendapat perintah reman empat hari sebelum disambung dua lagi sehingga Khamis ini.
“Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
“Tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan menculik bekas kekasih dan anak lelakinya berusia enam tahun itu dibenarkan diikat jamin dengan wang sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Mahkamah juga menetapkan 15 September ini sebagai tarikh sebutan semula penyerahan dokumen kes.
Sebelum ini pada 9 Julai lalu, suspek yang berusia 26 tahun itu diberkas polis ketika tampil serah diri untuk memberi keterangan di IPD Shah Alam selain susulan beberapa siri serbuan di rumahnya dan juga di kediaman ibu suspek.
Individu itu yang masih menyayangi bekas kekasih itu bertindak menculik bersama anak lelaki berusia enam tahun di hadapan Tadika di Shah Alam. – MalaysiaGazette