Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendesak pihak berkuasa menutup terus Comedy Crackhouse dan tidak membenarkan mereka beroperasi semula kerana pengasasnya didakwa membiar penghinaan Islam berlaku sebelum ini.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, penghinaan Islam bukan sahaja dilakukan seorang wanita ketika melakukan persembahan komedi berdiri bahkan pengasas Crackhouse, Rizal Van Geyzel sendiri yang banyak membuat lawak mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Tidak lama selepas itu, hasil selidik pelbagai pihak, telah tersebar pula video-video persembahan komediri dan kenyataan-kenyataan media sosial pengasas kelab tersebut.

“Ini termasuk juga tangkap layar hantaran seorang wanita Muslim bertudung dimalukan ketika disuruh membuka minuman keras oleh seorang ‘performer’ di atas pentas.

“Kita merasakan penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasas sendiri sudah banyak melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara sama di atas platformnya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Terdahulu, wanita yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan pakaian dan tudung dalam sebuah persembahan komedi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, semalam.

Siti Nuramira Abdullah, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya menarik balik lesen perniagaan Crackhouse secara mutlak kerana didapati beroperasi secara tidak sah.

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhead Comedy ini ditutup terus.

“Ia sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast