SELARI dengan ledakan dunia digital, media sosial kini menjadi aplikasi yang semakin menjadi perhatian para pelajar. Penggunaan media sosial adalah amat meluas dan dianggarkan 4.62 billion pengguna media sosial di seluruh dunia. Menurut Experian Simmons, 98% pelajar universiti menggunakan media sosial setiap hari dan dianggarkan purata masa harian yang dihabiskan menggunakan media sosial ialah dalam 2 jam 27 minit sehari menurut ringkasan penyelidikan statistik media sosial global bagi tahun 2022.
Proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan media sosial boleh dijadikan sebagai pembelajaran atas talian tahap global seiring dengan lonjakan kesembilan yang di laksanakan dalam Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025. Penggunaan media sosial kini dijadikan sebagai sokongan dalam sektor pendidikan khususnya untuk menarik minat para mahasiswa dalam pembelajaran. Ekoran pandemik Covid-19, penggunaan pendidikan digital telah merubah proses pembelajaran dari segi penyampaian dan kandungan pembelajaran tanpa sempadan dengan teknologi capaian internet yang semakin pantas. Oleh yang demikian, pelbagai aplikasi media sosial dapat diadun ke dalam pengajaran dan pembelajaran mahasiswa di pusat pengajian tinggi.
Kajian mendapati penggunaan media sosial di institut pengajian tinggi dilihat mempunyai potensi dalam pembentukan mahasiswa yang berdaya saing melalui sistem pembelajaran menjadi lebih efektif. Ianya, mewujudkan platform komunikasi dalam kalangan pelajar tanpa mengira jarak, keterbukaan dalam berkongsi maklumat, fail, gambar dan video, membuat blog dan menghantar mesej, dan membuat perbualan masa nyata. Golongan pendidik dan pelajar perlu sedar bahawa media sosial adalah medium pemudah cara serta membolehkan maklumat disampaikan dalam pelbagai bentuk dan dapat dikongsikan secara global.
Sistem pembelajaran adalah proses interaksi antara pelajar dengan pendidik agar berlakunya proses ilmu dan penguasaan kemahiran dan kepercayaan kepada pelajar. Tanpa salah satu daripadanya pengajaran tidak akan berlaku. Oleh itu, pengajaran dirancang oleh pendidik secara sistematik dengan menggunakan kaedah dan teknik yang bersesuaian dalam menghasilkan perubahan yang eksplisit. Antara faktor kejayaan media sosial adalah kerana ia memiliki kualiti capaian maklumat yang maksimum walaupun menggunakan telefon bimbit yang biasa, apatah lagi telefon bimbit pintar.
Sehubungan itu, banyak kajian yang berkaitan dengan teknologi pendidikan telah giat dijalankan untuk membolehkan pembelajaran menjadi lebih menarik dan efektif di pusat pengajian tinggi. Media sosial bukan sahaja dijadikan platform penyampaian maklumat bahkan bertukar pendapat sebagai wadah pembelajaran bagi para pelajar malahan tenaga pendidik itu sendiri. Media sosial juga telah membuka dunia komunikasi dengan lebih luas tanpa sempadan waima menjimatkan waktu dan masa.
Dari sudut kelemahan pula, penggunaan medium ini boleh mengurangkan kawalan terhadap aktiviti pelajar sekiranya peranan media sosial tidak dikawal. Isu akses kepada internet yang pantas dan meluas juga boleh menyebabkan penggunaan media sosial dalam pembelajaran menjadi lebih rumit. Selain itu, media sosial juga boleh menjadi ancaman kepada penggunaan tatabahasa yang betul melalui penggunaan “bahasa netizen” atau “bahasa rojak” yang semakin berleluasa. Malahan, isu kerahsiaan data peribadi pengguna juga adalah perlu dititikberatkan. Ini kerana, terdapat pelbagai cara kepakaran tersendiri untuk membocorkan data peribadi rahsia pengguna kepada pengguna yang lain..
Sekiranya maklumat peribadi pengguna tidak dilindungi, kesannya pengguna khususnya para pelajar akan berasa tidak selesa untuk berinteraksi. Pelajar juga mudah hilang fokus pembelajaran yang sebenar dan mengabaikan pelajaran kerana terlalu leka dengan media sosial. Justeru itu, panduan pengunaan media sosial dalam pengajaran dan pembelajaran perlu diwujudkan untuk mengawal kelemahan aplikasi tersebut. Para pendidik haruslah bijak membuat pemilihan media sosial yang sesuai untuk digunakan di dalam kelas.
Di samping itu, sekatan laman web yang kurang baik juga perlu diatasi bagi mengurangkan kesan negatif yang digunakan oleh para pelajar. Pemantauan secara berkala juga perlu diberi perhatian supaya pembelajaran yang berkesan dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Kefahaman dan kemahiran para pendidik di pusat pengajian tinggi adalah penting dalam memantapkan dunia pendidikan dengan pengunaan pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.
Secara kesimpulannya, penggunaan media sosial dalam pembelajaran dapat menggalakkan para pelajar dan pendidik berkreativiti dalam membina pengetahuan mereka. Media sosial boleh dijadikan satu medium kerjasama yang antara pelajar, terutamanya dalam menyediakan tugasan kumpulan agar tidak dibatasi kekangan waktu untuk berjumpa secara fizikal jarak jauh. Kemahiran teknologi ini dapat memberikan impak yang besar terhadap sektor pendidikan di Malaysia.
Oleh: Dr Nadiawati binti Abdul Razak
Pensyarah Perubatan Pakar,
Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.