Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk mengikut langkah Thailand yang mengeluarkan ganja daripada senarai dadah, sekaligus membuka ruang kepada penanaman tumbuhan itu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagaimanapun Malaysia tidak akan terburu-buru ke arah itu, namun ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, bermula dengan pendaftaran produk canabidiol (CBD) terlebih dahulu.

“Itu jauh lagi, soal penanaman ini kita tengok dulu, kita buat secara berperingkat-peringkat.

“Langkah kita berhati-hati, pertama kita daftar beberapa produk CBD, kita tengok penerimaan doktor, pesakit.

“Selepas itu kalau penerimaannya tinggi, selamat dan berkesan, barulah kita boleh memikirkan soal penanaman.

“Ramai hantar kertas kerja nak buat ladang ganja dan sebagainya, tapi kita belum sampai lagi (penanaman),” katanya kepada pemberita di Menara Worldwide, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya sedang mengkaji dan meneliti kajian saintifik yang dibuat penyelidik antarabangsa dan tempatan tentang penggunaan produk CBD.

“Pandangan awal saya, memang ada penggunaannya yang boleh membantu pesakit-pesakit dalam keadaan tertentu.

“Sekarang ini kita dalam proses untuk melihat dalam keadaan apa CBD boleh diberi, itu termasuk dalam kerangka kita nanti untuk kita laksanakannya pada tahun depan.

“Sebab bila kita bawa masuk CBD, dia tak boleh dibeli di kaunter, ia mesti preskripsi,” katanya.

Katanya lagi, KKM perlu memastikan pengamal perubatan khususnya doktor mempunyai pengetahuan untuk mengeluarkan preskripsi bagi produk CBD.

“Bula sudah ada produk itu di sini, doktor tahu macam mana nak keluarkan preskripsi.

“Tak guna kita beri kebenaran lesen untuk bawa masuk CBD tapi doktor tak tahu mana nak preskripsi CBD.

“Jadi ia akan ambil masa sedikit, sebab itu saya kata tahun depan adalah masa yang realistik,” katanya.

Ditanya tentang kelulusan untuk membawa masuk produk CBD, beliau berkata syarikat farmaseutikal perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa KKM.

“Hanya Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan juga kuasa Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette