Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Ahmed Zaharani Yusof Omar bercakap kepada media mengenai isu semasa Industri Pembinaan Negara ketika di Bangunan Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menangani isu kenaikan harga barang binaan yang kian meruncing bagi mengelak kewujudan lebih banyak “projek sakit”.

Langkah itu perlu dilakukan segera kerana ketika ini harga barang binaan telah naik melebihi 15 peratus dan lebih 75 hingga 80 peratus kontraktor berdepan masalah sama hingga dibimbangi akan menyebabkan mereka gulung tikar.

Malah, kontraktor-kontraktor turut berdepan dengan pelbagai tekanan terutamanya dari pihak bank dan risiko untuk sesuatu projek menjadi sakit apabila kontraktor terpaksa menamatkan atau memulangkan kembali projek bagi mengelak syarikat mereka disenarai hitam.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Ahmed Zaharani Yusof Omar, situasi inflasi yang kian meruncing dan dihadapi di seluruh dunia, kenaikan harga minyak dan masalah kekurangan pekerja terutama pekerja tempatan adalah antara isu yang perlu diambil perhatian serius.

Katanya, hal itu disebabkan industri pembinaan adalah industri yang memberi impak amat tinggi kepada ekonomi negara termasuk perbelanjaan kerajaan.

“Kami amat berharap agar isu kenaikan harga barang ini dapat diatasi dengan kadar yang segera kerana ramai kontraktor yang terkesan sehingga tidak dapat menyiapkan kerja mengikut kontrak dan paling menyedihkan sehingga terpaksa gulung tikar.

“Kami berpandangan isu ini amat membimbangkan dan perkara sebegini sangat tidak sihat serta memberikan impak negatif terhadap industri pembinaan.

Variation Of Price (variasi harga) yang diperkenalkan kerajaan juga dilihat tidak dapat membantu kontraktor. Ini disebabkan VOP yang dilaksanakan amat terhad dan hanya kepada barangan tertentu.

“Secara realitinya semua bahan binaan di dalam dan luar negara termasuk penyewaan jentera mengalami kenaikan harga yang melampau sehingga 30 peratus disebabkan faktor inflasi serta peningkatan kos logistik akibat daripada kenaikan harga minyak dunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmed Zaharani berkata, permasalahan mengenai kekurangan pekerja di tapak pembinaan juga dilihat sebagai salah satu perkara yang perlu diselesaikan dengan segera.

Hal ini katanya, kerana ia juga dikenal pasti sebagai salah satu punca utama yang menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan.

“Kami mengesyorkan agar proses pemutihan dapat dilakukan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih berada di dalam negara dengan menyerap mereka segera ke tapak pembinaan seluruh Malaysia.

“Perkara ini dilihat dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja dengan segera dan juga dapat menjimatkan masa serta kos pengambilan tenaga kerja asing seterusnya merancakkan kembali industri pembinaan.

“Sistem FWCMS (Foreign Workers Centralized Management System) juga dilihat memperlahankan pengambilan pekerja asing dari negara sumber.

“Kami berharap agar pihak kerajaan dapat memberi keutamaan kepada sektor pembinaan terutama kepada syarikat yang telah mendapat kontrak atau SST (Surat Setuju Terima) daripada pihak kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berhubung isu penamatan kontrak yang tidak menyebelahi kontraktor dan berpendapat perkara itu amat merugikan kerajaan apabila kontrak tersebut ditender semula.

Katanya, ini adalah kerana apabila sesuatu projek ditender semula ia akan melambatkan proses pelaksanaan seterusnya mengalami kenaikan kos yang berlipat kali ganda apabila melantik kontraktor penyelamat.

“Kami menyarankan agar perkara ini perlu dibincangkan dengan teliti sebelum sesuatu keputusan itu dibuat bagi mendapatkan situasi “menang-menang” seperti yang diamalkan oleh beberapa negara luar dan kami mencadangkan adalah lebih baik sekiranya pihak kerajaan dapat menaikkan peratus harga tawaran kepada 15 peratus hingga 20 peratus.

“Kami amat yakin apabila peratus tawaran harga ini dinaikkan ia akan dapat membantu kontraktor untuk terus komited menyiapkan projek tersebut daripada ditender semula seterusnya akan menjimatkan masa, tenaga dan perbelanjaan kerajaan.

“Kami amat berharap pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat memberi perhatian khusus terhadap senario semasa industri pembinaan dan seterusnya dapat membantu kontraktor bumiputera untuk terus berdaya saing selaras dengan agenda Keluarga Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast