ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung kenyataan beliau yang didakwa tidak sensitif dan menghina penganut Hindu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan untuk tindakan lanjut berhubung perkara tersebut.

“Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang lain dalam perkara ini sebelum memanggil Mohamad untuk tampil berjumpa polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum lain.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat gores hati komuniti India – Gobi Krishnan

Polis siasat kenyataan pemimpin UMNO didakwa hina masyarakat Hindu

Semalam, Sayap Bersekutu Bersatu membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu kerana gagal memohon maaf kepada penganut Hindu dalam tempoh 24 jam.

Dalam wawancara bersama Asia Times baru-baru ini, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat merujuk kavadi sebagai ‘beban’ dalam menggambarkan kekalahan UMNO pada pilihan raya umum ke-14. – MalaysiaGazette