SHAH ALAM – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu, Adam Adli Abd Halim mengingatkan pasukannya supaya tidak memanjangkan pertelingkahan yang berlaku semasa pemilihan parti yang lalu.
Katanya, persaingan dan perbalahan yang berlaku semasa pemilihan parti baru-baru ini merupakan adat dalam pertandingan.
“Kita sedar, kalau pemilihan yang baru kita tempuhi sebelum kita sampai ke hari ini, sedikit sebanyak menimbulkan calar dan balah antara sebahagian kita semua.
“Begitulah adat dalam pertandingan, akhirnya ada bersaing ada bertingkah, ada bertegang ada berbalah namun sebagai pemimpin, ada kewajipan ke atas diri kita untuk melihat gambaran yang lebih besar.
“Janganlah kita berpanjang-panjangan dan terbawa-bawa dengan telingkah pemilihan yang lepas. Andai ada salah dan khilaf, bermaaf-maafanlah kembali antara kita semua kerana di hadapan nanti, ada segunung cabaran yang sedang menanti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Kongres AMK Tahunan Nasional 2021 & 2022 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) hari ini.
Mengambil alih kepimpinan AMK daripada Akmal Nasir, Adam Adli tidak mahu memberi janji kepada ahli-ahlinya kerana risau tidak dapat menunaikannya.
“Cukuplah kalau saya katakan di sini, sesuai semangat yang dibawa sepanjang pemilihan yang lepas, menjadi tanggungjawab saya untuk memimpin dengan adil dan saksama.
“Setiap suara yang bergema, setiap perbezaan dalam sudut pandang, setiap buah fikiran, pendekatan baik dari segi mengurus organisasi mahu pun hala tuju pergerakan seharusnya diraikan sebagai kekuatan kita,” tambahnya.
Sebagai rekod, Adam Adli mengalahkan Akmal Nasir dalam perebutan jawatan Ketua AMK pada pemilihan baru-baru ini.-MalaysiaGazette