Noraini juga telah dianugerahkan Doktor Kehormatan/Doctor Honoris Causa Bidang Manajemen dan Kepemimpinan Pemerintahan daripada UMI.

MAKASSAR (Indonesia) – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang membangunkan Dasar Pengantarabangsaan dan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi baharu selaras misi menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan peringkat serantau dan global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penambahbaikan itu bagi menggantikan dasar lama dilakukan dengan mengambil kira senario semasa dan perubahan landskap pendidikan dunia.

“Situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020 dan 2021 memberikan cabaran kepada Malaysia untuk mencapai sasaran menghasilkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025.

“Menjadi harapan saya agar dasar dan pelan tindakan pengantarabangsaan yang sedang dimurnikan ini bukan sahaja dapat menambah baik pertumbuhan pelajar dan staf antarabangsa serta meningkatkan mobiliti inbound dan outbound, malah dapat meningkatkan pengalaman positif pelajar antarabangsa di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk “Dinamika Internasional dan Hubungannya dengan Upaya Mewujudkan Entitas Masyarakat Sulawesi Selatan Berskala Global”.

Ucap tama itu disampaikan pada program Mengkonstruksi Entitas Global Masyarakat Sulawesi Selatan yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-68 Universitas Muslim Indonesia (UMI) di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Noraini juga telah dianugerahkan Doktor Kehormatan/Doctor Honoris Causa Bidang Manajemen dan Kepemimpinan Pemerintahan daripada UMI.

Anugerah tersebut disampaikan atas peranan dan sumbangan  Noraini dalam memajukan ilmu pengetahuan dan teknologi, keberhasilan dalam kepimpinan, kepentingan pengembangan dan kemajuan UMI serta pemaslahatan masyarakat global.

Tambah beliau, strategi pengantarabangsaan yang berkesan perlu dikenal pasti bagi mengatasi isu, cabaran dan jurang pelaksanaan sedia ada.

“Ini dapat dilakukan melalui pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan, bukan sahaja melibatkan KPT, tetapi juga bidang kuasa kementerian dan agensi lain terutamanya yang berkaitan dengan pengurusan pelajar antarabangsa.

Beliau berkata, dalam usaha menggalakkan lebih ramai lagi pelajar antarabangsa, termasuk di Indonesia, datang ke Malaysia, Kerajaan Malaysia telah menawarkan biasiswa yang dinamakan Malaysia International Scholarship (MIS).

“Pada masa ini, terdapat 10,278 orang pelajar Indonesia sedang melanjutkan pengajian di Malaysia, daripada jumlah itu sebanyak 66 orang sedang mengikuti pengajian di pelbagai universiti awam di Malaysia, berada di bawah tajaan MIS bagi tahun 2020 dan 2021,” katanya lagi.- MalaysiaGazette