Lisandro Martinez. Foto SkySports.

LONDON – Manchester United dilaporkan sudah menyelesaikan urusan perpindahan bek tengah Ajax, Lisandro Martinez.

Pakar berita perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano mengesahkan berita itu di laman sosial miliknya dengan hantaran berbunyi Lisandro Martínez ke Manchester United.

“Kesepakatan penuh antara Manchester United dan Ajax untuk pakej sehingga €55 juta. Lisandro akan menandatangani kontrak 2027, dokumen sekarang ini sudah disahkan.

“Urusan perpindahan selesai dan pertemuan di Amsterdam pada Rabu menjadi kunci utama. Ten Hag menjadi faktor paling penting,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, The Athletic melaporkan United berusaha keras memastikan rundingan dapat dimeterai.

Martinez sudah memberitahu secara terbuka dia mahu ke Liga Perdana Inggeris dengan Arsenal dan Manchester United dalam pertimbangannya.

Namun pemain itu akhirnya memilih untuk bergabung semula dengan Ten Hag.

Bidaan pertama United bernilai €45 juta telah ditolak namun kedua-dua kelab kemudian sepakat nilai perpindahan €55 juta.

Martinez menjadi idaman Ten Hag yang memahami sistem permainan kehendaknya.

Selain itu, dia juga menjadi pemain penting kerana serba boleh kerana boleh bermain di posisi berbeza dan formasi berbeza.

Pemain berusia 24 tahun dari Argentina itu akan terus menyertai kem pra musim Manchester United di Australia.

Martinez menjadi penandatanganan kedua yang disahkan secara rasmi oleh Manchester United selepas Tyrell Malacia. – Agensi