SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sebagai kontraktor utama dalam pembangunan baharu Stadium Shah Alam yang dijangka melibatkan kos tidak lebih RM787 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelantikan MRCB dibuat selepas melalui proses pemilihan yang ketat daripada 15 syarikat yang mengambil bahagian termasuk antarabangsa dan syarikat tersenarai awam.

“Kita melihat kemampuan kewangan MRCB, di mana sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“KWSP pula adalah pemegang dana yang terbesar dalam negara kita di mana dana mencecah trilion ringgit.

“Ia bermakna projek ini akan kembali dibuat oleh sebuah syarikat yang menjadi milik rakyat Malaysia khususnya pencarum-pencarum KWSP,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) Pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam antara Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan di Bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah.

Dalam pada itu, Amirudin juga berkata, keputusan untuk mengadakan pembangunan fasiliti sukan baharu ini dibuat setelah melalui proses yang panjang dan teliti bermula dari 2013.

“Kerajaan negeri menyedari maklum balas orang ramai mengenal Stadium Shah Alam ini.

“Ada yang mahu kerajaan negeri membaiki kemudahan sukan ini dan mengembalikan zaman kegemilangannya.

“Ada juga yang merasakan bahawa kita harus membina semula dengan kemudahan moden dan memberikan nafas baharu kepada stadium ini,” katanya.

Keadaan Stadium yang rosak dan lama tidak diselenggara berikutan akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil yang akan mengurangkan kapasiti 30,000 hingĀ­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2022.

Tambahnya, sebelum pembangunan stadium itu bermula awal tahun depan, satu pameran mengenai cadangan membaik pulih kompleks sukan itu akan dibuat pada September ini.

“Orang ramai dijemput orang ramai untuk berkongsi maklum balas mengenai cadangan pembangunan kompleks sukan itu dengan menghantar idea mereka ke @KompleksSukanSA di Facebook dan Twitter.

“Pameran membolehkan orang ramai lebih memahami isu-isu yang menyelubungi rancangan pembangunan yang dicadangkan,” katanya.

Amirudin juga memberi jaminan projek pembangunan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan penyelesaian menang-menang untuk semua.

“Pembangunan semula Stadium Shah Alam ini tidak akan melibatkan dana awam, sekaligus tidak membebankan rakyat.

“MRCB juga akan dianugerahkan pertukaran tanah di sekitar kawasan pembangunan fasiliti sukan itu,” jelasnya.

“Projek tersebut bakal memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan itu, seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang dekat dengan stesen bagi laluan LRT3 yang dijangka beroperasi pada 2024,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast