KUALA LUMPUR – UMNO memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) masih belum memberi keputusan terhadap permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu telah mengikut semua prosedur yang ditetapkan jabatan itu sebelum ini.
“Saya kira adalah hak mereka untuk ambil sedikit masa lagi.
“Sukacita ingin dinyatakan bahawa segala prosedur telah diikuti dan saya menanti dengan fikiran positif bahawa kelulusan akan diperolehi,” katanya yang dipetik di laman Twitternya petang tadi.
UMNO sebelum ini membuat permohonan kepada RoS untuk meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 yang berakhir pada 30 Jun tahun lalu.
Jika RoS tidak meluluskan permohonan itu, ia bermakna tempoh 18 bulan itu yang akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember tahun ini juga.
Keputusan itu dicapai menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas yang diadakan pada Mei lalu di mana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Dengan dua pilihan yang diberikan kepada MKT UMNO di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
RoS belum jawab permohonan UMNO, kena tanya Ahmad Maslan – PM