Sikap segelintir daripada 120 penjaja di bahu jalan Pantai Puteri, Melaka meninggalkan khemah jualan di pantai pelancongan berkenaan bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, malah mencacatkan imej pantai berkenaan.

MELAKA – Sikap segelintir daripada 120 penjaja di bahu jalan Pantai Puteri, di sini, meninggalkan khemah jualan di pantai pelancongan berkenaan bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, malah mencacatkan imej pantai berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab peniaga berkenaan tidak sepatutnya berlaku walaupun beliau sudah berulang kali mengingatkan mereka sebelum ini.

Lebih membimbangkan menurutnya, beberapa kemalangan juga pernah berlaku di kawasan terbabit melibatkan penunggang motosikal yang terlanggar khemah jualan penjaja terbabit.

“Inilah yang saya sedikit kesal kerana kelonggaran berniaga sudah diberi, tapi janganlah kita ambil kesempatan atas kesenangan itu sehingga menyusahkan orang lain.

“Lagi pun, Pantai Puteri ini adalah kawasan pelancongan yang perlu sentiasa dijaga baik imej dan kebersihannya supaya lebih ramai pelancong datang ke sini sekaligus memberi manfaat kepada ramai peniaga,” katanya.

Tuminah Kadi

Beliau berkata demikian selepas program pendengaran Awam, Sejahterakan Bandarayaku di Kompleks Japerun Pantai Kundor, di sini, hari ini.

Menurutnya setakat ini, dianggarkan terdapat seramai 120 individu berniaga di kawasan itu, namun sikap segelintir mereka meninggalkan sebarang peralatan niaga termasuk khemah di bahu jalan sepanjang 2.5 kilometer itu memberi kesan kepada semua penjaja.

“Lagipun sudah termaktub dalam peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak membenarkan penjaja meninggalkan barang mereka di bahu jalan selepas selepas berniaga.

“Saya harap, penjaja lebih peka walaupun pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah banyak kali memberi peringatan melalui notis kerana kita faham akan keperluan mereka untuk berniaga dalam berdepan cabaran ekonomi hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast