Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap kepada media semasa hadir pada Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Rafizi Ramli mendakwa ada kelompok yang berada di sekeliling Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggapan bahawa pemimpin parti itu tidak boleh dikritik.

Malah, kelompok berkenaan sering membela Anwar sekiranya dikritik dari dalam parti dan luar, kata Timbalan Presiden PKR yang tidak menamakan sesiapa dalam kenyataan tersebut.

”Kelompok merasakan mereka mesti mempertahankan Anwar sehingga tiada fakta yang boleh dilihat menyentuh Anwar. Mana boleh begitu,” tambah Rafizi.

Mengulas mengenai barisan baharu PKR, Rafizi berkata, ia dijangka dimuktamadkan dalam dua minggu lagi.

Pada masa sama, katanya, sudah tiba masanya untuk parti itu mencari jalan baharu untuk menggabungkan kekuatan semua parti pembangkang.

Rafizi berkata, kepimpinan PKR tidak boleh meminggirkan kebimbangan penyokong teras Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan kerjasama antara semua parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ada dua pertimbangan yang tidak boleh ditolak mengikut sentimen akar umbi PKR dan PH. Jika sentimen itu diterjemahkan kepada penolakan terbuka terhadap ‘khemah besar’ dan kami masih meneruskan, bagaimana kami meyakinkan penyokong?

“Oleh itu, kita mesti meneliti setiap usaha untuk membawa parti atau kumpulan lain ke dalam kumpulan kita. Tetapi, pada masa yang sama, kita mesti melihat jika terdapat kesan negatif.

“Kita mesti meneliti setiap usaha untuk membawa parti atau kumpulan lain ke dalam ‘kapal’ dan kita juga perlu melihat sama ada akan ada kesan negatif,” ujarnya.

Kenyataan itu susulan wujud perdebatan hangat dalam kalangan akar umbi parti mengenai sama ada parti pembangkang perlu bekerjasama dengan Perikatan Nasional untuk memastikan perjuangan lurus menentang Barisan Nasional pada PRU15. – MalaysiaGazette