Lawatan kerja pihak SKMM di Pulau Tioman bagi meninjau perkembangan pemasangan gentian optik di pulau tersebut baru-baru ini.

KUANTAN – Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) melancarkan program pendakian Hiking In Tioman (HIT) yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Ogos dalam usaha menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi wajib daki oleh peminat aktiviti itu.

Pengurus Besar TDA, Datuk Edros Yahya berkata, terdapat tiga buah gunung di pulau itu yang belum diteroka oleh pendaki iaitu Gunung Semukut, Gunung Seperuk dan Gunung Sipuchung.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tioman (TDA), Datuk Edros Yahya ketika ditemui MalaysiaGazette di Karnival Belia dan Sukan 2022 Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan, di sini hari ini

Justeru, katanya program HIT turut meliputi program kesukarelawanan membersihkan trek laluan pendakian dan penandaan kawasan di Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut yang bakal menjadi laluan Trans Semukut menerusi pintu Dragon Horns.

“Program pelancaran akan diadakan selama tiga hari dua malam dengan kerjasama Kelab Perkhemahan Pendakian dan Pengembaraan Pahang (KCHAT Club) yang bertanggungjawab menghimpunkan wakil-wakil kumpulan pendaki yang lain.

“KCHAT Club akan melancarkan Trans Semukut membabitkan laluan ketiga-tiga gunung di Kampung Mukut,” kata Edros.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Karnival Belia dan Sukan 2022 Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Trans Semukut akan dibuka pertama kali pada Ogos ini, maka mereka yang akan menyertai program adalah pendaki pertama menjejaki laluan Trans Semukut yang menghubungkan tiga gunung di Kampung Mukut itu.

Sementara itu, Setiausaha KCHAT Club, Nor Khalilah Gusti Hassan berkata, pendaki G7 dan G12 yang mengambil bahagian dalam program terbabit akan menerima anugerah khas yang disediakan pihaknya.

Setiausaha Kelab Perkhemahan Pendakian dan Pengembaraan Pahang (KCHAT) Club, Nor Khalilah Gusti Hassan bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Karnival Belia Dan Sukan 2022 Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan, di sini hari ini

“Mereka perlu mendaftar; mengadakan gotong royong membersihkan trek pendakian; aktiviti sukaneka bersama penduduk kampung dan trip menjejak Air Terjun Asah yang juga terdapat di Kampung Mukut,” katanya.

“Kampung Mukut ini sebenarnya destinasi percutian yang menarik kerana di sini ada semua aktiviti. Boleh bercuti bersama keluarga kerana jika nak mendaki ada gunung, jika nak mandi air tawar, kita ada air terjun dan sungai (Air Terjun Asah, Kolam Puteri dan Kolam Temu Jodoh) dan jika nak lakukan aktiviti pantai kita ada snorkeling dan Skuba Diving,”jelas Nor Khalilah.

Kelab pendakian itu mensasarkan sejumlah 100 sukarelawan dalam kalangan peminat aktiviti luar perkhemahan dan pendakian untuk memenuhi undangan ini dalam usaha mewujudkan kesedaran umum tentang kemaslahatan alam sekitar, khususnya destinasi perkhemahan dan pendakian.

Program yang dianjurkan adalah bagi menyambut seruan kerajaan Pahang bersempena pelancaran Pahang Hiking Day yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Mac lalu.-MalaysiaGazette