SHAH ALAM – Mana-mana pemimpin yang memberi alasan pemberian subsidi minyak untuk rakyat miskin dan golongan berpendapatan rendah (B40) membebankan kerajaan perlu dihukum dalam pilihan raya akan datang.
Sedangkan, alasan berlainan diberikan apabila dana berbilion ringgit perlu disalurkan untuk menyelamatkan syarikat besar demi pertumbuhan ekonomi, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Subsidi minyak bersasar saya setuju, tapi jangan cakap Petronas mana mampu bagi subsidi minyak begitu banyak. Dari kes Bank Bumiputera berpuluh tahun lalu sampai ke Sapura, semua dana Petronas, boleh pula.
“Bila bagi wang kepada syarikat besar itu menjana pertumbuhan ekonomi, bila bagi kepada rakyat miskin, itu subsidi yang membebankan Petronas.
“Orang macam ini patut dihumban dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional ke-16 Keadilan, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mempersoalkan tindakan syarikat-syarikat perladangan berasas sawit yang mengaut keuntungan hingga berbilion ringgit namun masih enggah menjual dalam pasaran tempatan pada harga rendah.
“Syarikat yang untungnya setengah bilion, tak bolehkah peruntukan 10 peratus atau 15 peratus untuk penjualan (minyak) dalam negara khususnya bagi golongan B40 dengan harga yang lebih rendah daripada harga antarabangsa.
“Apa jawab mereka (kerajaan), ini sukar kena ikut harga pasaran antarabangsa dan kita kena hormat pasaran ekonomi, biar pasaran tentukan. Kalau harga kereta Mercedes mahal, saya faham itu kereta import, ini (minyak) yang kita hasilkan.
“Itu saya kata beza pendekatan ekonomi kita sebut, unbridled capitalism,” katanya lagi. – MalaysiaGazette