Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mencabar Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy berdebat secara terbuka mengenai dakwaannya bahawa tokoh pahlawan Melayu Mat Kilau bukan seorang nasionalis sebaliknya, hanya pemimpin petani.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, perdebatan itu perlu dibuat setelah pihaknya meneliti kenyataan pemimpin DAP itu menerusi portal MalaysiaGazatte baru-baru ini yang disifatkan berat sebelah kerana tidak merujuk mana-mana fakta sejarah secara ilmiah.

Menurutnya, ulasan Ramasamy jelas bersifat sangkaan semata-mata dan beliau seharusnya sedar diri kerana beliau berasal dari keturunan kaum pendatang (dari India dan Asia Selatan) yang dibawa oleh Inggeris ke Tanah Melayu sebagai pekerja, penoreh getah di ladang-ladang yang dikuasai Inggeris.

“Mungkin juga pandangan beliau didorong dan dipengaruhi oleh ideologi politik bawaan DAP yang bersifat rasis, liberal, anti-Islam dan Melayu.

“Pandangan beliau juga berkemungkinan daripada pengajian beliau yang melalui sistem pendidikan vernakular yang tidak mendalami sejarah Tanah Melayu sehingga gagal memahami sejarah sebenar mengenai perjuangan pahlawan Melayu mempertahan tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Mohd Zai turut menggesa agar Ramasamy sedar diri sebelum melontarkan pendapat.

Tegasnya, sejarah Mat Kilau sebagai pejuang dan pahlawan Melayu yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air telah ditulis dalam pelbagai bentuk jurnal dan buku ilmiah.

Beliau turut memberikan contoh, jurnal mengenai Mat kiau turut ditulis oleh seorang pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Talib Samat.

“Jadi, persoalannya siapakah ketua petani? Mat Kilau atau leluhur P Ramasamy? Hanya fakta sejarah sahaja yang telah membuktikan,” ujarnya.

Tambah Mohd Zai, telah tertulis dengan tinta emas sejarah bahawa Mat Kilau ialah pejuang bangsa, agama dan tanahair.

Justeru beliau berkata, UMMAH bersedia menawarkan pentas debat terbuka kepada Ramasamy bagi membuktikan fakta-fakta dakwaannya. – MalaysiaGazette

Mat Kilau pemimpin petani bukan nasionalis – Ramasamy