Suspek diiringi polis untuk mendapatakan perintah reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Suspek wanita yang bertindak membunuh suaminya di rumah mereka di Flat Nipah, Taman Daya direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Melody Woon Sze Mun di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini.

Suspek berusia 36 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 8.45 pagi tadi.

Wanita kepada dua orang anak itu dikatakan telah memukul kepala mangsa menggunakan objek tumpul.

Mangsa ditemukan maut terbaring di dalam rumah berkenaan dan anak sulung mereka merupakan saksi kejadian itu.

Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati suspek membunuh suaminya kerana ditegur tidak menyediakan makanan.

“Suspek yang ditahan pada pukul 9.15 pagi di kawasan berhampiran itu juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dua kes dadah dan satu kes jenayah.

“Hasil siasatan awal mempercayai suspek membunuh mangsa kerana berada dibawah pengaruh dadah,” katanya.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette