Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti itu menutup pintu kerjasama dalam ‘khemah besar’ terhadap parti yang telah mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, wujud sentimen dalam PKR yang tidak boleh menerima kehadiran parti yang telah menjadi penyebab runtuhnya kerajaan PH pada 2020.

“Bukan soal saya. Sentimen tidak boleh terima. Teman-teman kita yang ada di sini, dahulu terkait pun, kita tengok sentimen tidak sabar dengan orang-orang seperti ini.

“Walaupun saya mengambil sikap ‘yalah dia sudah bersama kita okaylah’ tetapi sentimen itu kuat.

“Kalau orang ini melakukan sesuatu jenayah yang besar dari segi perjuangan dia menyebabkan runtuhnya satu kerajaan, menyebabkan mandat kita dikhianati. Mandat bukan soal kedudukan peribadi,” tegas Anwar.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus selepas Kongres PKR ke-16 tamat di sini hari ini.

Presiden PKR sebelum itu itu ditanya mengenai sama ada akan menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Media sebelum ini melaporkan kepimpinan Bersatu tidak menolak kemungkinan bekerjsama dengan PH untuk mengalahkan Barisan Nasional pada PRU-15.

Dalam sidang media yang sama, Anwar sekali lagi menegaskan, PKR tidak menghalang sebarang perbincangan kerjasama dengan parti lain namun bukan dengan parti yang telah mengkhianati PH.

“Saya jawab sebagai PKR kerana kita perkukuhkan PKR dan induknya PH. Soal untuk ada perbincangan dengan (parti) lain kita tidak halang. Kita sebagai Ketua Pembangkang kita pergi kepada pembangkang itu maksudnya.

“Tetapi khemah besar dalam erti kata menjalin kesefahaman dan pakatan dengan golongan yang sudah khianat dan sudah jelas tidak mewakili agenda reformasi itu tentunya tidak dapat diteruskan,” katanya.

Presiden PKR itu menambah, kerjasama parti itu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya 2018 lebih banyak mendatangkan kerugian kepada rakyat.

“Yang kontroversi 2018, masa Tun Mahathir (Mohamed) itu, semua tahu saya yang akhir dipujuk kerana keadaan semasa  kita belum tahu… mungkin positif, baik kesannya.

“Tapi nampaknya kesannya merugikan rakyat. Bukan masalah saya hilang peluang itu tetapi merugikan rakyat dan dasar-dasar kembali kepada asal dan lebih parah daripada yang asal,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast