Robert Lewandowski. Foto Kredit: EPA/BBC Sport

LONDON – Barcelona telah mencapai perjanjian dasar untuk mengikat khidmat bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski lapor BBC Sport hari ini.

Penyerang antarabangsa Poland berusia 33 tahun itu dijangka menyertai kelab La Liga Sepanyol itu dalam masa terdekat.

Lewandowski mempunyai kontrak berbaki setahun bersama Bayern dan telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan kelab Bundesliga itu kerana mahu menyertai the Catalans.

Musim lalu, Lewandowski menjaringkan 50 gol dalam 46 penampilan bersama Bayern sekaligus membantu kelab itu menjulang gelaran Bundesliga untuk musim ke-10 berturut-turut.

Barcelona berkata, pemain itu masih perlu menjalani proses ujian perubatan dan menandatangani kontrak untuk memuktamadkan perpindahan ke Nou Camp.

Sebelum ini, Presiden Bayern Herbert Hainer mengumumkan pihaknya mencapai perjanjian bersama Barcelona untuk menjual Lewandowski.

Untuk rekod, Lewandowski menyertai kelab Bayern secara percuma dari Borussia Dortmund pada 2014 dan menjaringkan 244 gol dalam 374 perlawanan bersama kelab itu.

Dia muncul sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang masa selepas Gerd Muller untuk kelab itu. – BBC Sport