Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap seorang wanita dalam serbuan Op Bersepadu Khas Maksiat di empat pusat hiburan sekitar Taman Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – Kegembiraan sekumpulan 312 individu terbantut di empat buah pusat hiburan sekitar Melaka Raya, Banda Hilir di sini apabila diserbu polis awal pagi tadi.

Kesemua mereka terdiri daripada 307 pelanggan tempatan dan lima wanita warga asing berumur antara 22 hingga 45 tahun itu diperiksa dalam serbuan Op Bersepadu Khas Maksiat pada jam 12.30 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, operasi melibatkan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK).

“Hasil pemeriksaan terhadap 312 orang, polis menahan tujuh individu termasuk seorang lelaki penjaga premis berusia 42 tahun atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

“Enam lagi yang ditahan adalah empat wanita warga asing berusia antara 31 hingga 38 tahun atas kesalahan menyalah guna pas lawatan sosial serta permit dan dua lelaki berusia 25 dan 50 tahun kerana didapati posifif dadah jenis methamphetamine ,” katanya dalam satu kenyataan selepas operasi tamat pukul 3 pagi.

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya,, Banda Hilir, Melaka
dalam serbuan Op Bersepadu Khas Maksiat awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63
dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Zainol berkata, sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu, pihaknya telah berjaya menahan 195 individu melibatkan 49 warga tempatan dan 146 warga asing dalam 56 serbuan dilakukan.

“Daripada jumlah ini, 42 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah dan 13 lagi kertas siasatan masih peringkat siasatan sebelum pertuduhan.

“Kita juga telah membuat pemeriksaan terhadap 45 pusat-pusat hiburan serta masing-masing 25 rumah urut dan hotel-hotel bajet diperiksa bagi mengesan sebarang aktiviti maksiat selain mengesan individu-individu yang disenarai hitam sebagai wanted person,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast