Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Silaturahim Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 17 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa mencampuri atau membuat keputusan dalam sesuatu permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Menteri Dalam Negeri itu, sekiranya mana-mana pemohon mengemukakan rayuan selepas RoS telah membuat sesuatu keputusan itu, maka barulah beliau dalam kedudukan untuk membuat keputusan.

“Saya tak tahu apa apa tentang itu (permohonan UMNO dilengahkan) kecuali ada sebarang rayuan daripada mereka sekiranya sesuatu keputusan telahpun dibuat oleh RoS.

“Kemudian jika mereka hendak merayu, barulah ia datang kepada kuasa saya untuk meneliti permohonan itu. Sebelum itu, saya tidak ada autoriti, malangnya ada orang kata saya ada autoriti. PM (Perddana Menteri) ada autoriti, itu tak betul,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Hamzah, walaupun RoS berada di bawah kementeriannya namun pihaknya hanya bertanggungjawab mengawal selia jabatan itu dan tidak boleh mencampuri badan bebas itu.

“Misalnya Polis Diraja Malaysia, betul sayalah menteri tetapi saya hanya mengawal selia sahaja. Autoriti yang menjalankan tugas sebenarnya adalah Ketua Polis Negara (KPN).

“Jangan salah faham seolah-olah saya lebih atas daripada KPN, itu tak betul sebenarnya,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan RoS meminta PKR mengemukakan keputusan pemilihan parti itu rentetan aduan salah laku dalam pemilihan itu, perkara berkenaan juga adalah luar pengetahuan Hamzah.

“Adakah itu benar? Saya tak tahu pun pasal itu..ini tugas RoS sebagai autoriti yang bertanggungjawab..apa jua mereka nak buat, itu kuasa bebas mereka. Saya pun baru pertama kali saya dengar,” ujarnya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan RoS masih belum mengeluarkan keputusan permohonan UMNO meminda perlembagaan untuk mengadakan pemilihan parti enam bulan selepas Pilihan Raya Umum perlu dirujuk kepada setiausaha agung parti itu.

Naib Presiden UMNO itu berkata, Datuk Seri Ahmad Maslan boleh memberi penjelasan tentang isu tersebut. – MalaysiaGazette