Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menghantar surat kepada PKR supaya memberikan penjelasan berhubung pemilihan kepimpinan parti itu baru-baru ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RoS telah menerima sejumlah aduan daripada ahli PKR berkaitan keputusan pemilihan parti tersebut.

“Parti telah menerima surat notis daripada RoS untuk Setiausaha Agung mengemukakan penjelasan terhadap sejumlah aduan yang telah sampai kepada RoS berkenaan proses pemilihan yang telah diadakan baru-baru ini.

“Sejurus mendapat surat itu perkara pertama yang terpikir dalam fikiran saya ialah saya mesti bersedia dalam keadaan yang paling buruk seperti yang berlaku kepada DAP pada 2013 kepada MIC pada 2015.

“Tapi percayalah dengan dokongan pimpinan lama dan baru tugas saya berakhir tapi pada minit terakhir saya Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti ini sehabis daya daripada sebarang tindakan daripada RoS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan ucapan pengulungan sebagai Setiausaha Agung PKR sesi 2018 – 2022 hari ini.

Pemilihan PKR bagi sesi 2022 – 2025 berlangsung dalam suasana kontroversi selepas beberapa pihak dalam parti mempertikaikan keputusan akhir.

Jawatankuasa Pemilihan Parti turut melaksanakan audit forensik sebelum mengumumkan keputusan muktakmad pemilihan PKR. – MalaysiaGazette