KUALA LUMPUR – Terus berahsia identiti bakal isteri, penyanyi, Shahir Zawawi bersyukur majlis pertunangan dengan usahawan berasal dari Tawau, Sabah semalam berjalan lancar.
Belajar daripada pengalaman silam, Shahir atau nama sebenar, Ahmad Shahir Zawawi, 33, menjelaskan dia dan bakal tunang akan bernikah dalam masa terdekat.
Shahir berkata, majlis pertunangan di kediaman keluarga wanita terbabit di Tawau, dihadiri dirinya dan lima anggota keluarga lain.
“Alhamdulillah, saya dan keluarga seramai enam orang datang dari Kuala Lumpur bertandang ke rumah tunang di Tawau. Insya-Allah, majlis berikutnya (pernikahan) dalam masa terdekat, iaitu tahun ini juga.
“Bukan tidak mahu berkongsi, sebaliknya, ada perkara yang perlu saya tengok. Soal ini ada berkait dengan kerjaya saya. Jadi, kita mahu selaraskan dahulu, baru boleh diumum tarikhnya.
“Namun, kami sudah putuskan untuk berkahwin dalam masa terdekat. Kami tidak mahu bertunang lama-lama. Majlis pernikahan akan diadakan di Kuala Lumpur dan acara resepsi bakal menyusul di Tawau,” katanya memetik laporan BH Online.
“Sebelum ini, sudah macam-macam gosip dan cerita keluar. Jadi, lebih baik saya ambil langkah berjaga-jaga dan selamat.
“Apabila sudah betul-betul pasti, baru kita umumkan. Kita tidak akan berahsia, tali kita tidak mahu nanti jaja cerita, tak jadi pula,” katanya.
Lebih istimewa, juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu menghadiahkan lagu khas kepada pasangannya pada hari persandingan mereka, kelak.
“Disebabkan itu, tarikh pernikahan kami masih belum tetap. Saya perlu menyusun perancangan untuk lagu berkenaan,” katanya.
Biar pun baru mengenali hati budi, Shahir serius membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.
“Saya berserah kepada Allah. Kita hanya merancang, kalau Allah tidak mengizinkan, tidak jadi juga. Saya dan dia betul-betul terkejut apabila Allah memudahkan dan mendorong kami ke jalan ini. Kami tidak sangka secepat ini.
“Alhamdulillah, kami harapkan perkahwinan berlangsung. Kami doakan mudah-mudahan apa yang kami rancang lancar sebab niat kita hendak buat perkara baik.
“Kalau kita hendak cari keberkatan dalam hubungan dan membina masjid, insya-Allah dipermudahkan,” katanya.
Bulan lalu, Shahir berkongsi berita baik berhubung niatnya mahu berkahwin dengan ahli perniagaan dekorasi dalaman dan pakaian berusia 30 tahun itu. – MalaysiaGazette