Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Trend aliran keluar dana asing berterusan di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih sederhana minggu lepas, hanya RM28 juta berbanding RM120.55 juta pada minggu sebelumnya disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha pada hari Isnin.

MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada hari Selasa dan Khamis masing-masing pada RM21.9 juta dan RM49.6 juta, mengimbangi aliran keluar sebanyak RM81.9 juta pada hari Rabu dan RM17.6 juta pada Jumaat.

Pelabur institusi tempatan kembali menjadi penjual bersih pada kadar RM25.1 juta selepas melakukan belian bersih selama dua minggu.

Mereka adalah penjual bersih sebanyak -RM60.4 juta pada hari Selasa dan RM48.5 juta pada Khamis dan melakukan belian bersih pada hari Rabu dan Jumaat masing-masing pada RM47.9 juta dan RM36 juta.

Firma penyelidikan ini berkata, pelabur runcit mengekalkan pembelian bersih mereka untuk minggu keenam dengan jumlah bersih sebanyak RM53.1 juta.

Mereka membeli RM72.5 juta bersih pada Selasa dan Rabu sebelum menjual sebanyak RM19.5 juta dalam tempoh dua hari berikutnya.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih oleh pelabur asing ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM51.7 juta), teknologi (RM40.4 juta) dan perladangan (RM22.3 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran masuk bersih ialah penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan produk pengguna &
perkhidmatan masing-masing sebanyak RM71.7 juta, RM35.5 juta dan RM16.6 juta.

Sehingga kini, pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 28 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.94 bilion.

Institusi tempatan pula menjadi penjual bersih selama 21 daripada 28 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.84 juta.

Pelabur runcit pula menjadi pembeli bersih selama 19 daripada 28 minggu 2022.

Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih pada RM1.9 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua kelas pelabur.

Pelabur runcit menyaksikan penurunan sebanyak -26.26% manakala pelabur institusi dan asing masing-masing menyaksikan penurunan dalam ADTV sebanyak 25.51% dan 25.94%. – MalaysiaGazette