Home Minister, Datuk Seri Hamzah Zainudin at a news conference after launching the ESD Satellite Center (ESC) at the Kuala Lumpur International Airport (KLIA). PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette PN Perikatan Nasional component parties Sarawak state election polls PN GPS Gabungan Parti Sarawak.
Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memulakan perbincangan dengan Indonesia untuk menyelesaikan masalah penggajian pekerja dari negara itu dan keputusannya dijangkakan dalam tempoh dua hari lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit Indonesia bagi memastikan salah faham dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Ia memerlukan sedikit perubahan dalam isu-isu yang dibangkitkan bersama oleh kedua-dua pihak.

“Walaupun persatuan dan agen-agen yang menguruskan pengambilan pembantu rumah tidak mahu kerajaan meneruskan permohonan dalam talian, bagaimana pula dengan rakyat Malaysia, apakah mereka mahu ikut kehendak agen atau macam mana?

“Biar kita buat perbincangan lanjut dalam perkara ini bersama kerajaan Indonesia dan menyelesaikan secara efektif isu ini yang memanfaatkan kedua-dua negara tanpa sebarang kekhilafan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Menara 1, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan Indonesia yang membekukan sementara penghantaran pekerjanya memasuki Malaysia sejak 12 Julai lalu berikutan Jabatan Imigresen Malaysia meneruskan penggunaan System Maid Online (SMO) biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran, iaitu One Channel System, menerusi MoU yang dimeterai sebelum ini.

Terdahulu, beliau dan Saravanan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketujuh Bilangan 1 Tahun 2022.

Menurut Hamzah, kerajaan perlu mengambil kira pendapat semua pihak.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, dilapor berkata, Indonesia menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor berkuat kuasa serta merta.

Ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini dan pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Saravanan.

Sementara itu, Hamzah berkata, walaupun persetujuan dicapai bagi menggunakan One System Channel namun kekhilafan yang timbul tidak sepatutnya dibawa kepada perhatian media. -MalaysiaGazette