Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dan Rafizi Ramli

SEMALAM pada Kongres PKR ke-16 di Shah Alam, Selangor, Rafizi Ramli menyeru semua perwakilan dan ahli PKR menyanggah Datuk Seri Najib Tun Razak dan mahu menghantarnya ke penjara.

Tidak cukup itu Rafizi menggesa semua ahli PKR membuat laporan polis terhadap Najib pada Selasa ini. Seruan tersebut dibuat selepas Rafizi diumumkan secara rasmi sebagai Timbalan Presiden PKR dalam kongres tersebut.

Apa yang menyebabkan Najib menjadi sasaran utama Rafizi? Apa yang menyebabkan Rafizi begitu fokus terhadap Najib? Adakah ia satu bentuk ‘pembunuhan karakter’?  Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 wajarkah budaya lama ini dikekalkan?

Mahu menumpang populariti Najib

Dalam ramai-ramai pemimpin UMNO mengapa Najib menjadi sasaran Rafizi?  Beliau bukan lagi pemimpin utama dalam UMNO. Najib tiada sebarang jawatan malah bukan Ahli Majlis Tertinggi parti.

Kenapa Rafizi tidak menjadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Hamidi atau Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai sasaran utama? Kedua-dua karakter ini lebih ‘berkuasa’ dalam UMNO berbanding Najib?

Penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara berpendapat, Najib menjadi sasaran kerana beliau merupakan pemimpin paling popular dalam UMNO.

Rafizi menurut beliau, mahu menumpang ‘kemahsyuran’ Najib ketika ini untuk melonjakkan populariti dan nama beliau sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu.

Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose

“Dia sebenarnya mencari sasaran mudah untuk popular. Dia sudah tahu Najib hampir tidak relevan lagi kenapa mesti ditujukan.

“Sebagai Timbalan Presiden PKR, masyarakat lebih mengharapkan dia (Rafizi) untuk bercakap bagaimana hendak meningkatkan pencapaian dan membina semula negara daripada menyerang peribadi,” kata Dr. Raduan ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Menurutnya, tindakan Rafizi menyerang Najib menggambarkan Timbalan Presiden PKR itu sebagai seorang yang berfikiran sempit.

Namun langkah yang dibuat oleh Rafizi untuk menyerang Najib, menurut beliau adalah kesinambungan daripada apa yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pandan itu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Rafizi sepatutnya tidak terbawa-bawa daripada PRU14 hingga sekarang tak habis-habis.

“Yang penting Rafizi perlu bertanggungjawab menawarkan apakah yang boleh dilakukan oleh PKR sebagai sebuah parti dan beliau sebagai Timbalan Presiden perlu meyakinkan rakyat kenapa (rakyat) perlu memilih mereka.

“Kalau setakat hendak untuk hentam lagi Najib, Rosmah saya rasa orang sudah jelak dan tidak ambil kisah. Dia harus lebih besar daripada isu individu Najib dan mana-mana individu lain,” kata Dr. Raduan.

Tambah beliau, Rafizi mungkin menjadikan Najib sebagai sasaran disebabkan bekas Perdana Menteri itu sentiasa membuat pelbagai analisa mengenai ekonomi sehingga menyebabkan Timbalan Presiden PKR itu rasa tercabar.

“Dari segi idea saya nampak Najib dengan pengalaman sebagai Perdana Menteri dengan kebolehan membuat analisa. Rafizi bukan lawan Najib.

Rafizi Ramli

“Rafizi hanya main sentimen dan propaganda. Tetapi Najib factual berdasarkan pengalaman dan perkara yang telah dilalui. Itu bezanya.

“Kalau bercerita persepsi, semua bulan bintang kita boleh janjikan. Tapi Najib bercakap berdasarkan pengalaman dan apa yang telah dilalui,” katanya.

Justeru kata Dr. Raduan, Rafizi mesti membuat tawaran baru kepada rakyat berdasarkan keperluan negara dan keadaan semasa.

Jika Rafizi ingin melawan Najib, pemimpin PKR itu boleh berbahas pelbagai perkara antaranya mengenai hutang negara ataupun berkaitan rakyat.

Henti guna strategi ‘pembunuhan karakter’

Tindakan Rafizi menyerang Najib pada Kongres PKR dilihat sebagai bersifat ‘character assassination‘ ataupun pembunuhan karakter.

Strategi ‘pembunuhan karakter’ adalah budaya lama dalam politik. Strategi ini seringkali digunakan bagi menghitamkan imej pihak lawan supaya dibenci oleh pengundi dan rakyat.

Bagaimanapun strategi pembunuhan karakter bukanlah sesuatu yang rakyat mahukan lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin

Penganalisis Keselamatan dan Politik Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, jika strategi pembunuhan karakter terus berlaku dalam dunia politik maka masyarakat akan menjadi semakin pasif terhadap politik negara dan bertindak menjauhkan diri.

Ini akhirnya akan menyebabkan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya akan terus berkurangan.

“Dalam politik Malaysia kita mahu pembaharuan dan perubahan. Jelas rakyat sudah muak dengan strategi politik bersifat ‘character assassination’ ataupun pembunuhan karakter ataupun propaganda-propaganda politik bersifat serangan peribadi.

“Kalau boleh kita mahukan supaya ahli politik tidak kira pembangkang atau kerajaan berusaha mewujudkan suasana politik yang lebih positif iaitu berkepentingan rakyat,” katanya.

Pakar perang saraf media itu menegaskan, masyarakat telah muak dengan perseteruan politik yang berlanjutan sejak PRU14.

Justeru, negara seharusnya menuju ke arah politik yang lebih maju ke hadapan dengan mewujudkan satu bentuk rekonsiliasi dengan memikirkan sama ada janji yang ditaburkan sebelum ini telah dicapai.

“Ahli-ahli politik kena berani keluar dan membuka satu ruang baru dengan memperkenalkan satu bentuk propaganda politik yang lebih putih iaitu memberi maklum balas apa yang perlu dilakukan untuk kebaikan negara.

“Jika tidak kita akan terus duduk dalam lingkungan propaganda politik yang seperti ini dan ia tidak baik untuk perkembangan politik tanah air negara.

“Ia hanya akan merugikan masyarakat yang bukan ahli politik kerana mereka akan semakin pasif dan semakin tidak menghargai ahli-ahli politik negara,” jelas Dr. Noor Nirwandy.

Katanya, masyarakat mahu melihat ahli politik berdebat dan merancang isu yang berkepentingan rakyat.

The Pakatan Harapan flag is seen in Melaka in conjunction with the upcoming Melaka State Election. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 08 NOVEMBER 2021
Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sepatutnya bermakna untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang.- Gambar hiasan.

Tambahan pula menurut beliau, selepas PRU14 tidak wujud gabungan politik yang stabil dan jika ia berterusan pada PRU15 boleh menyebabkan rakyat merasakan segala yang dilakukan oleh ahli politik tidak mengambil kira kepentingan mereka.

Sudah tentu politik bersifat propaganda tetapi kita mahu perubahan. Supaya propaganda itu lebih bersifat kematangan, politik baharu, membina.

“Kita mahu semua pihak menghentikan politik bersifat peribadi, character assassination kerana ia tidak memberi kelebihan kepada mana-mana parti,” tegasnya.

Pembunuhan karakter atau tidak, dengan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR dan parti yang berpengaruh dalam Pakatan Harapan, Rafizi sudah tentu akan menggunakan segala ‘kuasanya’ untuk melemahkan lawan utamanya Najib.

Tugas Rafizi untuk menjatuhkan UMNO dan BN akan menjadi lebih mudah selepas menumpaskan Najib.

Bagaimanapun Najib hari ini bukanlah seperti Najib sebelum PRU14. Selepas dijatuhkan Najib semakin mahir menggunakan media sosial untuk menjawab segala tuduhan.

Bukan mudah untuk Rafizi menyerang dan menjatuhkan Najib seperti yang dilakukannya pada PRU14 lebih-lebih lagi apabila semakin ramai memanggil Najib ‘Bossku’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast