KUANTAN – Menyedihkan. Itu luahan rata-rata pemilik kawasan unit pangsapuri berhampiran Taman Tema Bukit Gambang Resort City (BGRC).
Mereka mendakwa sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu, BGRC telah menutup operasinya menyebabkan pemilik dan unit-unit pangsapuri di situ dilihat paling terkesan.
Menurut hantaran di media sosial, salah seorang pemilik unit berkenaan mengadu dengan ketiadaan pengunjung, premisnya tidak diselenggara.
Lebih buruk bekalan elektrik dan air juga terputus sejak beberapa bulan lalu.
Ia, dakwanyai mengakibatkan pemilik kediaman hanya sekadar membayar hutang pinjaman bank namun tidak boleh tinggal di unit masing-masing.
Kali terakhir notis dikeluarkan oleh pihak pengurusan taman tema adalah pada 1 Februari tahun ini memaklumkan operasi BGRC hanya akan bersambung selepas Hari Raya Aidilfitri.
Namun sehingga bulan ini, taman tema yang turut menyediakan tarikan seperti Safari Park dan juga Active Academy itu masih belum dibuka.
Malah keadaannya tidak ubah seperti kawasan terbengkalai.
Bagaimanapun, MalaysiaGazette masih cuba untuk mendapatkan penjelasan pihak pengurusan BGRC berkenaan dakwaan berkenaan.- MalaysiaGazette