Peter Anthony

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Julai ini bagi mendengar permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony untuk menggantung sabitan hukuman yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Pendengaran tersebut yang dijadualkan pada hari ini ditangguhkan selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, mengambil cuti kecemasan, menurut Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash.

Pada 26 Mei lepas, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 ke atas Peter selepas beliau didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut apabila Peter membayar denda tersebut.

Pada 11 Jun lepas, Peter yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memfailkan notis usul memohon agar sabitan tersebut digantung atas alasan sabitan salah itu akan menjejaskan peluangnya untuk menjadi calon pada pilihan raya kelak.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan peguam belanya, D. Senthinathan, Peter menyatakan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan permohonan itu dibenarkan. – MalaysiaGazette