KUANTAN – Seorang lelaki yang melakukan kebakaran di sebuah restoran dan merosakkan sebuah kereta menggunakan sabit yang di Rompin baru-baru ini disahkan mempunyai penyakit gangguan bipolar dan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, dalam insiden 15 Julai 2022, suspek yang telah ditahan polis telah datang ke sebuah kedai makan di Bukit Serdang, Kuala Rompin dan telah membakar kaunter pembayaran kedai terbabit seperti yang tular dalam rakaman video berdurasi selama dua minit.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati lelaki tersebut menghidapi penyakit gangguan bipolar dan pemilik kedai makan tersebut tidak mahu membuat sebarang laporan polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain itu, suspek juga disyaki merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan sabit di Balai Cukai Balak Hutan, Jalan Selendang Berabong pada 14 Julai lalu.
Jelas Azahari, pemilik kenderaan terbabit telah datang ke Balai Polis Kuala Rompin bagi membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
ARTIKEL BERKAITAN :
Mapim gesa polis siasat dalang cuba seleweng akidah umat Islam di Malaysia
Empat maut dalam kemalangan disyaki terlibat aktiviti lumba haram – Polis
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Sesyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat ke atas harta benda.
Selain itu, katanya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana positif dadah. – MalaysiaGazette