Henti tular video lama yang memprovokasi hubungan kedua-dua negara. Gambar ihsan Markas Tentera Darat.

KUALA LUMPUR – Markas Tentera Darat (MTD) hari ini meminta orang ramai henti menularkan video tentera melakukan pendaratan payung terjun di lokasi salah sejak kebelakangan ini.

Dalam kenyataannya MTD mengesahkan ia video lama dan insiden itu berlaku sembilan tahun lalu.

“Selain itu, jangan meninggalkan sebarang komen negatif terutama yang mempunyai unsur provokasi kepada negara Malaysia mahu pun Indonesia,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pihaknya terpanggil untuk menjelaskan yang sebenar selepas terkesan dengan penularan video yang sama di media sosial berkenaan anggota tentera darat telah mendarat jauh dari sasaran di Indonesia.

“Video lama itu sebenarnya dirakam semasa Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) pada 2013.

“Penerjunan itu sebenarnya dilakukan ketika eksesais berkenaan yang diadakan di Medan, Indonesia pada 7 hingga 12 Jun 2013 oleh penerjun dari Grup Gerak Khas (GGK) dan Tentera Darat dan Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat.

“Insiden berkenaan berlaku selepas pelepas yang merupakan anggota KOPASSUS telah melepaskan para penerjun ketika keadaan angin sedikit kencang yang menyebabkan kesemua penerjun GGK dan KOPASSUS tersasar dari kawasan pendaratan yang telah didaftarkan,” kata dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MTD turut membidas kenyataan yang mengatakan hanya anggota GGK sahaja yang tersasar dari kawasan pendaratan sebaliknya melibatkan anggota-anggota kedua-dua negara.

Terdahulu, video Tik Tok berkenaan telah dimuat naik oleh akaun @cucoe.cut.nyak.ali.daya yang bertajuk Tentera/Askar Terjun Payung Malaysia Salah Mendarat pada 12 Julai 2022

Penelitian terhadap video itu memaparkan sedutan Berita RCTI saluran televisyen Indonesia pada tahun 2013 mengenai beberapa anggota tentera dari Malaysia melakukan pendaratan di luar kawasan sasaran dan telah diselamatkan oleh warga tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast