KUALA LUMPUR – Susulan penarikan diri seorang atlet negara menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England yang bermula 28 Julai ini, sasaran asal tujuh pingat emas diturunkan kepada enam sahaja.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran baharu itu realistik berdasarkan faktor termasuk penarikan diri itu selain atas faktor kemalangan yang menimpa seorang atlet negara baru-baru ini.
“Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel kali ini.
“Selain itu, kemalangan yang menimpa pemain skuasy negara, S. Sivasangari juga menyebabkan sasaran pingat emas dalam acara beregu wanita terpaksa dikaji semula,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham ke-22 di Hotel Grand Hyatt.
Tambah Ahmad Faizal, sasaran baharu bagi enam pingat emas dalam temasya itu melibatkan sukan akuatik terjun, angkat berat, badminton, gimrama, lawn bowl dan powerlifting. – MalaysiaGazette