KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengakui proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada pada landasan betul dan terdapat kesan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun masih terdapat banyak isu dan masalah besar yang perlu kerajaan ditangani dengan segera khususnya melibatkan regulasi dan mempercepatkan tindakan.
“Setakat sekarang ini, boleh dikatakan ada kesan yang baik tapi ada banyak isu dan masalah besar yang perlu kita tangani.
“Ini termasuk soal regulasi atau peraturan sedia ada yang kita lihat agak mengekang dalam membuat keputusan dengan cepat.
“Sebab itu sektor-sektor tertentu terkesan termasuk soal pelaburan luar, pelaburan domestik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Menara MIDA, KL Sentral, di sini, hari ini.
Terdahulu Muhyiddin mempengerusikan Majlis Rundingan Meja Bulat MPN lebih dua jam bersama pakar ekonomi, akademik dan pemegang taruh.
Muhyiddin menambah, salah satu perkara besar yang perlu ditangani segera termasuk soal jaminan keselamatan makanan negara perlu diperhalusi bukan untuk jangka masa pendek.
“Salah satu perkara telah dibangkitkan ialah soal mempertingkatkan hasil pengeluaran bahan makanan negara yang lepas, ini ada hubung kait dengan jaminan keselamatan makanan.
“Kita perlu lihat lebih mendalam sektor-sektor agro makanan dan pertanian yang kita anggap penting itu dapat dipertingkatkan dalam satu jangka masa hadapan ini.
“Apa yang kita nanti akan kita bincang nanti akan kita bawa ke dalam MPN dan hasilnya kita akan maklum kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette