KUANTAN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mencetuskan isu berkaitan sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat, termasuk menyiarkan semula video lama yang menghina agama Islam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah mengesan rakaman video lama berdurasi 2 minit 54 saat yang menghina agama Islam ditularkan semula melalui aplikasi Whatsapp kira-kira pukul 3.45 petang semalam.
“Terdapat satu laporan polis yang dibuat berkaitan penularan semula video lama tersebut di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, hasil semakan pihaknya mendapati kes terbabit dibuka dan disiasat pada 2020 di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Jelas Wan Mohd Zahari, kes telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang dan Ketua Unit Jenayah dan Ketenteraman Awam.
Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya berhubung terus dengan anggota polis di balai polis berhampiran untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette