Shahril Hamdan Formula Rafizi
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Pendirian berubah-ubah Pakatan Harapan (PH) berkaitan subsidi dan kos sara hidup menyebabkan parti itu kini dilihat sebagai keliru dengan dasar yang mahu diperjuangkan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menempelak PH kerana tidak tetap pendirian.

Ini kerana ada ketika PH meminta supaya subsidi ditambah namun mereka mempertikai bila kerajaan menyediakan subsidi dan bantuan kewangan kepada rakyat dan menuduh kerajaan tidak melaksanakan perubahan struktural.

“25 Jun minta Kerajaan selesaikan isu subsidi atau mereka akan turun ke jalan. 27 jun minta tambah subsidi. 17 Julai ulang janji bahawa “hari ini menang, esok minyak turun”. Nak turun minyak macam mana kalau bukan subsidi kan?.

“Selama berminggu-minggu berzikir soal subsidi. Bila Kerajaan tunjukkan bahawa subsidi dan bantuan kewangan sebenarnya pada tahap paling tinggi dalam sejarah – tiba-tiba cakap “kenapa bergantung kepada subsidi?”

“Tiba-tiba tukar tiang gol bertanya kenapa hanya ada subsidi dan menuduh Kerajaan tak laksana perubahan struktural untuk membantu kos sara hidup,” kata Shahril.

Shahril berkata, PH seharusnya menyatakan perubahan struktural segera yang akan mereka lakukan untuk naikkan nilai ringgit.

Secara sinis, beliau menggesa supaya PH menyatakan formula baharu yang boleh ‘dijual’ kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup.

Pembangkang katanya, tidak seharusnya terus mempertikaikan usaha kerajaan dalam menangani kos sara hidup tanpa memberikan sebarang penyelesaian.

“Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ada beri contoh soal nilai ringgit berbanding dolar Amerika (USD) sebagai satu perkara yang perlu perubahan struktural.

“Apakah idea yang PH hendak kemukakan untuk naikkan nilai ringgit segera? Umum mengetahui USD memang sedang berdagang pada kadar tertinggi dalam 20 tahun.

“Matawang Yen pun jatuh 20 peratus berbanding USD. Euro yang sebelum ini lebih “kuat” dari USD pun sudah setara dengan USD. Baht jatuh. Peso jatuh. Australian Dollars jatuh. Korea Won jatuh. Rupiah jatuh. Singapore dollars jatuh.

“Melainkan dua contoh terakhir, kejatuhan matawang mereka berbanding USD lebih banyak dari Malaysia. PH patut jelaskan,” katanya.

Shahril secara sinis menyindir sama ada PH akan mencadangkan mengambil lebih banyak dividen Petronas bagi mengatasi kos sara hidup.

Ini kerana PH mempunyai sejarah mengambil sejumlah RM54 bilion daripada Petronas dalam masa setahun iaitu paling tinggi dalam sejarah negara.

“Mungkin itu perubahan struktural yang dimaksudkan? Atau mungkin boleh jual aset lagi supaya Kerajaan dapat “cash” untuk tambah subsidi.

“Eh, tapi PH taknak bergantung kepada subsidi lagi kan?”

“PH sendiri keliru apa sebenarnya dasar mereka. Bila dah buat keputusan apa sebenarnya pegangan mereka, cakap lah,” katanya. – MalaysiaGazette