Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pihak yang menularkan ucapan Perdana Menteri semasa sesi soal jawab isu minyak masak paket bersubsidi berhasrat menanam kebencian kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, video yang ditularkan itu hanya separuh daripada jawapan rasmi yang diberikan Ismail Sabri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Perdana Menteri buat penjelasan jelas ada pihak mengambil kesempatan buat posting sepotong ucapan PM yang beri gambaran penjaja kecik penjual goreng pisang akan lakukan kesalahan.

“Perbuatan demikian menyalahi undang-undang kerana berita palsu. Itu bagi tujuan politik tanam kebencian hakis keyakinan rakyat tak prihatin,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Annuar merujuk kepada penularan video pendek di Tik Tok yang menggambarkan Ismail Sabri berkata, penggunaan minyak masak paket bersubsidi oleh penjual goreng pisang di negara ini melakukan kesalahan dengan menggunakan minyak masak tersebut untuk sektor komersial.

“Mak cik jual goreng pisang, mereka tak boleh guna minyak masak (bersubsidi) untuk jual goreng pisang, itu salah.

“Sebab minyak masak paket ini tidak boleh untuk komersial. Tapi adakah penguat kuasa nak saman makcik ni atau rampas minyak masak?

“Nanti dituduh kita zalim pula terhadap rakyat miskin yang nak jual, kais pagi makan pagi. Bukan mudah seperti ABC,” katanya di Dewan Rakyat, semalam. – MalaysiaGazette