Harga sekilogram ayam di Pasar Besar Kuantan dijual RM9, jauh lebih rendah berbanding harga siling.

KUANTAN – Ketika ramai pembekal dan peniaga runcit kekal menjual ayam segar pada harga RM9.40 sekilogram seperti ditetapkan kerajaan, masih ada pembekal yang menjual ayam di bawah harga siling.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini di Pasar Besar Kuantan hari ini mendapati ada dalam kalangan peniaga menawarkan harga ayam RM9 sekilogram.

seorang peniaga ayam berkata, ayam yang dijualnya lebih murah berbanding harga siling kerana pembekal menurunkan harga.

“Kita ada nampak penurunan harga. Sebelum ini memang keadaan sedikit ‘tenat’, harga mahal. Tapi sekarang harga makin turun,” kata Mohammad Abdullah ketika di temui di Pasar Besar Kuantan di sini.

Mohammad Abdullah.

Menurutnya, apabila mendapat harga yang lebih rendah daripada pembekal bermakna pengguna juga boleh membeli dengan harga yang lebih murah berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah bagi pihak saya sendiri, kita dapat bekalan ayam hidup dengan harga lebih rendah, jadi boleh lah kita turunkan harga,” tambah peniaga kedai Ayam Segar Kuantan itu.

Beliau turut mencadangkan kepada peniaga yang lain di pasar ini untuk bersama-sama menjual ayam pada harga lebih murah bermula hari ini.

Mohammad memuji usaha kerajaan yang menghentikan sementara eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan ke negara luar bermula 1 Jun lalu kerana langkah itu dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan ayam hidup untuk dijual.

Suhana Mat Shafie

Seorang peniaga runcit yang ditemui di sekitar kawasan Beserah, Suhana Mat Shafie, 39 pula berkata, penjualan ayam agak perlahan di kedainya meskipun bekalan mencukupi.

“Bekalan memang cukup, berlebihan pula. Biasanya saya jual 30-40 ekor sehari memang habis,” katanya yang tidak menolak permintaan rendah disebabkan umat Islam baru sahaja menyambut Aidiladha,

Beliau juga tidak kisah menjual ayam segar pada harga RM9.40 sekilogram termasuk upah potong walaupun banyak kedai lain mengenakan caj tambahan untuk perkhidmatan itu.

“Pada saya janji ayam dijual habis dan tidak perlu menyimpan ayam,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast