ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan semua agensi di bawahnya akan memberi kerjasama penuh terhadap jawatankuasa yang bakal ditubuhkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi menjalankan siasatan insiden kepala air dan di Kupang, Baling baru-baru ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kementerian itu akan mengetuai jawatankuasa tersebut.
“Saya memberi jaminan semua agensi kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh terhadap jawatankuasa berkenaan dalam apa jua aspek siasatan yang diperlukan.
“Adalah menjadi harapan kita semua agar jawatankuasa ini dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka bagi mencari punca serta penyelesaian secara tuntas terutama dalam usaha mengelak tragedi seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Isnin lalu, media tempatan melaporkan KeTSA akan mengetuai agensi-agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian banjir di Baling, Kedah pada 4 Julai lalu.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya baru menerima arahan berkenaan daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Setiausaha Negara.
Perkara itu dimaklumkan Takiyuddin melalui sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette